PSB membangunkan Polisi Pemberian dan Penerimaan Hadiah dan Hospitaliti. Ini merupakan salah satu usaha ke arah memperkukuhkan dan membudayakan perkhidmatan yang berintegriti di kalangan warga kerja Kumpulan PSB.
Di Malaysia, amalan menerima dan memberi hadiah telah menjadi budaya di kalangan masyarakat bagi menzahirkan rasa penghargaan, persahabatan dan persaudaraan. Ia merupakan amalan yang baik sekiranya pemberian tersebut dilakukan dengan niat baik, jujur dan ikhlas untuk tujuan menzahirkan penghargaan atau mengeratkan persahabatan dan persaudaraan. Namun begitu, ia boleh menjadi amalan yang tidak baik sekiranya pemberian tersebut dilakukan untuk tujuan mendapatkan sesuatu balasan, ganjaran, keistimewaan dan sebagainya.
Sebagai sebuah syarikat yang berurusan secara terus dengan pelanggan dan golongan sasar, warga kerjanya terdedah kepada amalan pemberian dan penerimaan hadiah. Jesteru, syarikat telah mengeluarkan polisi ini sebagai panduan dan rujukan bagi menangani isu pemberian dan penerimaan hadiah dalam pelaksanaan tugas rasmi warga kerja Kumpulan PSB.
Polisi ini menggariskan larangan, kesalahan undang-undang, ketidakpatuhan kepada larangan dan tindakan yang berkaitan dengan pemberian dan penerimaan hadiah dalam perkhidmatan awam berdasarkan akta, pekeliling dan arahan yang berkuatkuasa.
Semoga seluruh warga kerja Kumpulan PSB dapat menghayati dan mematuhi polisi ini demi memelihara ketelusan dan profesionalisma syarikat dalam menyediakan perkhidmatan berteraskan misi PSB iaitu melaksanakan aktiviti ekonomi dan sosial berlandaskan Syariah serta menjadikan organisasi yang mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh dan Sumber Manusia yang berkualiti.