LAWATAN KE PROJEK PERINTIS PERTANIAN BANDAR TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT (CSR) PERBADANAN EKONOMI ISLAM PERAK SDN BHD (PSB)
Idea kreatif warga Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah (SARJANA) memanfaatkan tanah kosong di kawasan sekolah telah membuahkan hasil yang sangat membanggakan. Melalui tanaman sayur-sayuran secara fertigasi, projek ini bukan sahaja menghijaukan persekitaran tetapi juga menjadi sumber pendapatan tambahan bagi Kelab Alam Sekitar dan Kelab Pengguna sekolah.
Walaupun kawasan yang diusahakan tidak begitu luas, usaha gigih di bawah bimbingan guru penyelaras, En. Ahmad Tarmizi Zohiri dan En. Mohd Afzal Sapi’in, berjaya menjana pendapatan sehingga RM700 bagi setiap tuaian, dengan pengeluaran hasil mencecah 100 kilogram dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
Projek ini telah bermula pada tahun 2022 hasil kerjasama bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn Bhd (PSB). Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pembangunan ekonomi komuniti sekolah tetapi juga mendidik generasi muda tentang pentingnya pertanian lestari dan pengurusan sumber secara efektif. Semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak sekolah untuk meneroka potensi tanah terbiar dan merealisasikan manfaatnya kepada masyarakat.